arena

Karnival promosi SUKMA Johor ditangguh

Oleh Nurul Amanina Suhaini

KARNIVAL Semarak Juara 2020 bagi mempromosikan Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi ke-20 di Johor pada 13 hingga 15 Februari ini di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru, ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, susulan wabak Koronavirus Baharu, soal pencegahan termasuk pembabitan lebih 5,000 peserta dan kehadiran pengunjung pada program terbabit perlu diambil kira.

“Program ini akan ditangguhkan sehingga akhir Februari ini dan akan dipertimbangkan semula kemudian.

“Penangguhan itu hanya membabitkan program di bawah portfolio belia dan sukan,” katanya pada sidang media Karnival Semarak Juara SUKMA XX Johor 2020 di sini, hari ini.

Ditanya sama ada wabak berkenaan akan menyebabkan temasya SUKMA Johor 2020 ditangguh beliau memaklumkan akan melihat kepada keadaan semasa berikutan kedudukan negara bersempadan dengan Singapura.

“Kita akan lihat keadaan semasa sebab kita berada sempadan dengan Singapura. Jadi kita akan ambil langkah pencegahan supaya tiada isu berbangkit akan datang.

“Lebih baik cegah dulu dari sekarang dalam memastikan rakyat Johor berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, tiada atlet negeri yang mengambil bahagian dihantar menjalani latihan di luar negara bagi memastikan kesihatan mereka dijaga dan tidak terdedah kepada penyakit.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 5:59pm
    d