arena

Cari alternatif jalani latihan

Oleh BERNAMA

MAJLIS Sukan Negara (MSN) meminta persatuan sukan kebangsaan untuk mencari alternatif lain bagi mengelak atlet negara menjalani latihan mahupun menyertai kejohanan di China, berikutan wabak novel koronavirus baharu.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata walaupun setakat ini, tidak ada sebarang arahan atau sekatan perjalanan untuk ke mana-mana wilayah di negara China kecuali ke kawasan penularan wabak di Wuhan, namun persatuan sukan perlu mengelak ke negara itu buat masa ini.

"Kita berpegang kepada arahan (tidak berkunjung ke Wuhan). Contohnya, jika ada kejohanan yang berlangsung di Beijing dan penganjur memastikan prosedur dipatuhi dan kita pula perlu mengambil bahagian, kita mungkin akan buat keputusan untuk berbuat demikian.

"Namun, kalau boleh kita elakkan khususnya ke negara China buat masa ini. Kita cari alternatif lain selain dari kawasan yang terkesan atau ke negara berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di Bengkel Pelan Periodisasi 2020 di Bukit Jalil, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi mengakui koronavirus sedikit menjejaskan persiapan atlet, khususnya mereka yang dalam proses melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 ekoran penganjur menangguhkan beberapa kejohanan.

Jelasnya, langkah penangguhan kejohanan itu adalah kesan global yang turut dirasai atlet seluruh dunia, yang masing-masing memburu slot ke Olimpik.

Kejohanan yang telah dibatal atau ditangguhkan di China termasuklah Kejohanan Olahraga Asia kesembilan di Hanzhou pada 12 dan 13 Februari (dibatalkan), Kejohanan Olahraga Indoor Sedunia 2020 di Nanjing (tangguh), Badminton Masters China pada 25 Februari hingga 1 Mac di Lingshui Agile Gymnasium, Sanya (tangguh).

AFC juga pada Selasa, memutuskan menunda perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) membabitkan kelab-kelab dari China, manakala dua pasukan berpangkalan di China, Hengxiang Cycling dan Giant Cycling Team, menarik diri daripada menyertai perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 yang bermula 6 Februari sebagai langkah berjaga-jaga.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 8:54pm
    d