arena

Tiada sekatan ke atas pemain China

Oleh Reuters

PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) berkata, tiada larangan ke atas pemain China daripada bertanding di peringkat antarabangsa susulan wabak koronavirus.

Lebih 550 mati di China angkara virus itu yang mula dikesan di Wuhan dalam wilayah Hubei akhir tahun lalu dan puluhan ribu dikuarantin di seluruh dunia.

Banyak syarikat penerbangan membatalkan atau menghadkan perjalanan ke China dan beberapa negara melarang kemasukan sesiapa sahaja dari China sejak dua minggu lalu.

"BWF memantau implikasi larangan penerbangan yang bermakna pemain dan pegawai dari China tidak dapat menyertai kejohanan anjuran BWF,” kata jurucakap badan itu dalam laman sesawang mereka.

"BWF tegaskan tiada larangan ke atas pemain China atau pegawai mereka untuk menyertai kejohanan badminton antarabangsa dan para.”

BWF turut menggesa persatuan badminton tempatan menghubungi pihak berkuasa kesihatan berhubung kedatangan pemain antarabangsa ke negara mereka.

"Kami percaya penganjur akan memberikan bantuan dan melayani semua atlet daripada semua persatuan dengan adil termasuk menekankan aspek etika seperti lambungan duit dan berjabat tangan,” kata BWF.

Wabak itu menjejaskan kalendar sukan antarabangsa dengan beberapa kejohanan terpaksa ditangguh atau dibatalkan.

Minggu lalu, Master China di Hainan yang berlangsung pada 25 Februari sehinggan 1 Mac terpaksa ditangguhkan selepas beberapa pemain membatalkan penyertaan mereka.

Bagaimanapun, BWF masih berharap Kejohanan Badminton Asia yang dijadualkan berlangsung di Wuhan pada 21-26 April tidak terjejas.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 6, 2020 @ 12:48pm
    d