arena

Jangan ambil kesempatan - MPM

Oleh Saiful Affendy Sapran

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) berharap Filipina tidak menggunakan alasan penularan wabak koronavirus untuk menangguhkan penganjuran temasya Sukan Para Asean sebagai menggantikan masalah sebenar iaitu faktor kewangan.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya menghormati jika penangguhan itu benar-benar berkaitan wabak koronavirus namun kecewa jika ia sekadar alasan kegagalan mereka menganjurkan temasya itu berikutan faktor kewangan.

“Setakat ini kami belum mendapat maklumat rasmi secara bertulis daripada pihak penganjur. Difahamkan alasannya kerana wabak koronavirus yang yang mana di Filipina sudah ada satu kes kematian.

“Mungkin ada kaitan masalah kewangan atau mereka menggunakan koronavirus sebagai alasan kami pun tidak pasti. Saya berharap ia bukan sebab itu (faktor kewangan),” katanya pada sidang media hari ini.

Jika temasya itu ditangguhkan lagi sehingga Jun seperti yang dicadangkan, Megat bimbang tidak ramai atlet yang mungkin menyertainya.

“Sebab ia sudah hampir dengan temasya Sukan Paralimpik. Jadi mungkin atlet yang beraksi di Sukan Paralimpik tidak akan ambil bahagian di Sukan Para Asean,” katanya.

Pesuruhjaya Sukan Filipina (PSC) menerusi laporan semalam menyarankan temasya Sukan Para Asean yang dijadual berlangsung pada penghujung Mac ditunda sekali lagi berikutan wabak koronavirus.

PSC mengharapkan Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PPC) untuk membuat perbincangan dengan Pesekutuan Paralimpik Asean (APSF) bagi mengubah jadual pertandingan.

Sukan Para Asean yang dijadual berlangsung sejurus selepas Sukan Sea ke 30 yang tamat pada penghujung Disember lalu ditunda kepada awal Januari susulan kekangan kewangan oleh pihak penganjur.

Namun PPC sekali lagi terpaksa menunda untuk kali kedua ke bulan Mac kerana peruntukkan yang sepatutnya diterima daripada kerajaan persekutuan hanya diluluskan pada penghujung bulan Januari.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 10:34pm
    d