arena

Pusingan kedua masih samar

Oleh Syazwan Msar

STATUS perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac depan masih lagi samar dengan kemungkinan beberapa aksi terpaksa ditunda berikutan penularan wabak koronavirus baharu atau Covid-19.

Ini bermakna, aksi kelima Kumpulan G membabitkan Malaysia menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai tidak terkecuali terkena tempias apabila perlawanan yang dijadualkan pada 26 Mac depan kemungkinan ditunda pada tarikh yang akan ditetapkan nanti.

Perkara terbabit disahkan oleh Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul John dengan kebanyakan negara terutama di Asia Timur ‘menutup pintu’ kepada individu dari negara tertentu berikutan penularan wabak berkenaan.

Beliau berkata, situasi berkenaan masih dalam pemantauan AFC dan akan mengadakan perbincangan bersama wakil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan perkara itu.

“Saya boleh katakan kemungkinan beberapa perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac depan mungkin akan ditunda atau ada kaedah lain.

“Setakat ini, AFC sudah berhubung dengan FIFA berkaitan perkara itu dan keputusan akan diketahui dalam masa terdekat nanti.

“AFC perlu merujuk kepada FIFA sebelum membuat keputusan malah untuk mengadakan perlawanan di gelanggang lain pun perlu ada persetujuan daripada beberapa pihak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 6:55am
    d