arena

Harimau Malaya tetap sedia

Oleh Firdaus Hashim

SKUAD Harimau Malaya akan tetap meneruskan latihan pusat pada pertengahan bulan depan sekiranya aksi menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 26 Mac ini ditangguhkan ekoran penularan wabak Koronavirus (Covid-19).

Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Yusoff Mahadi berkata, latihan akan diteruskan sebagai persediaan skuad kendalian Tan Cheng Hoe berdepan Vietnam pada 31 Mac ini yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Katanya, Konfedersi Bolasepak Asia (AFC) akan bermesyuarat pada Isnin ini bagi memutuskan status aksi Malaysia dengan UAE serta beberapa aksi membabitkan pasukan dari rantau Asia Barat dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu.

Menurutnya, keputusan penangguhan sesuatu perlawanan biasanya diambil kira sekiranya ada halangan atau sekatan perjalanan oleh mana-mana negara bagi mengekang penularan Covid-19.

"Perlawanan yang tak berkaitan dengan Covid-19 punya halangan akan diteruskan, cuma negara-negara yang ada membuat sekatan perjalanan saja kemungkinan akan ditangguhkan.

"Kalau tak ada sekatan perjalanan negara contohnya macam Vietnam dan Malaysia, rasanya perlawanan akan diteruskan seperti biasa.

"Kecuali kalau Covid-19 lebih serius berlaku di negara kita, mungkin kerajaan akan ambil keputusan tertentu," katanya kepada Arena Metro.

Tambahnya, setakat ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mendapat apa-apa maklumat daripada kerajaan mengenai sekatan perjalanan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 8:16pm
    d