arena

Perlumbaan MotoGP Qatar dibatalkan

Oleh AFP

PERLUMBAAN pembuka tirai MotoGP di Qatar yang dijadualkan pada 8 Mac ini dibatalkan berikutan penularan wabak koronavirus, umum Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

“Disebabkan Qatar menghalang kemasukan penumpang dari Itali (selain beberapa negara lain), perlumbaan kelas premier itu tidak akan diadakan di litar Losail,” kata FIM.

Bagaimanapun, perlumbaan Moto2 dan Moto3 tetap berjalan kerana pelumba dan pasukan masing-masing sudah berada di negara Teluk itu sejak sesi ujian musim sejuk.

Itali muncul negara Eropah yang paling terkesan dengan penularan wabak koronavirus di mana setakat ini membabitkan 34 kematian dan 1,600 orang dijangkiti.

“Semua penumpang yang tiba di Doha menerusi penerbangan terus dari Itali, atau berada di Itali sepanjang dua minggu lalu, akan dikuarantin untuk sekurang-kurangnya dua minggu.

“Itali memainkan peranan penting dalam kejuaraan dan kelas MotoGP – di dalam dan di luar litar – dan keputusan terpaksa diambil untuk membatalkan perlumbaan kelas premier itu,” kata badan induk permotoran dunia itu.

Enam pelumba MotoGP adalah dari Itali – juara dunia tujuh kali Valentino Rossi, naib juara 2019 - Andrea Dovizioso, Danilo Petrucci, Francesco Bagnaia, Franco Morbidelli dan Andrea Iannone.

Ducati dan Aprilia pula pengeluar utama dari Itali.

Qatar adalah perlumbaan pertama daripada 20 perlumbaan MotoGP musim ini dan acara permotoran terbaru yang terpaksa dibatalkan akibat koronavirus.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 2, 2020 @ 11:44am
    d