arena

MotoGP Thailand tunda cetus masalah logistik

Oleh Aida Adilah Mat

PENGANJUR Kejohanan Motosikal Dunia yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 22 Mac di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand mengumumkan penundaan perlumbaan ke satu tarikh yang belum diputuskan.

Selepas perlumbaan MotoGP di Doha, Qatar dibatalkan, Thailand yang sepatutnya menjadi tuan rumah pusingan kedua itu turut mengambil langkah pencegahan dengan menunda perlumbaan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali bagaimanapun mengakui ia masalah global yang sedang dihadapi semua pihak.

Namun bagi SIC ia memberi kesan dari segi logistik kepada pasukan negara selepas persaingan MotoGP di Qatar dibatalkan.

“Bukan hanya MotoGP terkesan tapi saingan seperti Formula Satu (F1) juga sama apabila pusingan di China turut dibatalkan. Apa yang memeningkan kepala sekarang ini adalah dari sudut logistik sebab semua peralatan, jentera MotoGp sudah berada di Doha.

“Tapi pasukan Moto2 dan Moto3 akan menolong pasukan MotoGP kita untuk kemas barang di sana dan saya akan cuba dapatkan pertolongan dari Yamaha juga,” katanya.

Terdahulu dalam laporan Bangkok Post yang dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul berkata, keputusan penangguhan diputuskan dalam satu mesyuarat jawatankuasa penganjur dan saingan motosikal berprestij itu akan diadakan semula di negara berkenaan sehingga wabak berkurangan.

Sementara itu Dorna Sports, pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP dalam kenyataan memaklumkan keputusan pembatalan perlumbaan Kelas MotoGP di Litar Losail dicapai dengan persetujuan Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA) dan juga Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) berikutan kebimbangan terhadap wabak koronavirus.

Dorna Sports bagaimanapun memaklumkan perlumbaan lain termasuk kelas Moto2 dan Moto3 akan diteruskan seperti biasa memandangkan penunggangnya sudah berada di ibu kota Qatar, awal minggu ini untuk ujian rasmi tiga hari di Litar Antarabangsa Losail.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 2, 2020 @ 9:28pm
    d