arena

Aksi Juventus, Milan ditangguhkan

Oleh AFP

SEPARUH akhir Piala Itali antara Juventus dan AC Milan terpaksa ditangguhkan berikutan kegusasaran penyebaran wabak koronavirus di bahagian utara Itali itu dan perkara itu diumumkan oleh pihak berkuasa tempatan di Turin.

Perlawanan itu sepatutnya diadakan pada awal pagi esok di Stadium Allianz dengan peminat di kebanyakkan bahagian di Itali akan hadir namun Ketua Wiliayah Turin, Claudio Palomba berkata kebenaran yang diberikan kerajaan untuk menghadiri acara sukan tidak boleh menjamin keselamatan.

Keputusan berkenaan dibuat berdasarkan penilaian yang dilakukan oleh unit krisis rantau Piedmont dan kaunselor kesihatan serantau, Luigi Icardi, yang menggesa agar tidak berlakunya sebarang perhimpunan orang awam berskala besar.

Tidak ada tarikh baru ditetapkan untuk perlawanan kedua separuh akhir itu, tatkala aksi sebelum ini kedua-dua pasukan terikat 1-1 di San Siro bulan lalu,.

Agensi berita Ansa melaporkan pemain Milan mengetahui perkara berkenaan ketika mereka berada di hotel di Turin menjelang perlawanan.

Semalam kadar kematian di Itali disebabkan virus berkenaan meningkat kepada 79 orang dengan lebih 2,500 dijangkiti iaitu jumlah paling besar di Eropah.

Seramai 55 kematian yang dicatatkan dilaporkan berlaku di rantau utara Lombardy, diikuti Emilia Romagna 18 dan Veneto juga dikatakan terjejas teruk.

Perlawanan itu dijadualkan untuk diadakan secara tertutup namun kerajaan membenarkan penyokong yang tidak tinggal di tiga rantau berkenaan dan dua lagi wilayah di Liguria dan Le Marche dibenarkan menyaksikan aksi itu.

Bagaimanapun, pengumuman yang dibuat Palomba menjelaskan segalanya.

Media Itali melaporkan semalam, jawatankuasa saintifik menasihatkan kerajaan agar menghalang penonton daripada menyaksikan sebarang acara sukan dalam tempoh sebulan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 4, 2020 @ 7:28am
    d