arena

Norza harap atlet Olimpik kekal fokus

Oleh Ferzalfie Fauzi

ATLET negara yang sudah melayakkan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 diharap dapat menumpukan perhatian kepada mempersiapkan diri walaupun dihimpit dengan isu penularan wabak koronavirus.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata atlet yang masih belum layak dan sedang berusaha untuk menempatkan diri ke temasya berkenaan turut disarankan agar terus berjuang dan serahkan kepada pihak yang berkaitan untuk menguruskan hal-hal lain termasuk ancaman koronavirus.

"Dalam masa sama MOM dan badan-badan lain akan sentiasa memantau perkara ini. Apa saja keputusan yang dibuat perlu diikuti oleh setiap persatuan dan atlet," katanya yang juga presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Norza berkata, MOM sentiasa memantau dan berhati-hati dengan ancaman wabak berkenaan sama seperti dilakukan Majlis Sukan Negara (MSN) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kita juga melihat kepada penganjuran sukan di negara ini dan kita beranggapan ia berada dalam keadaan terkawal. Kita juga sedang memerhatikan perkara ini dengan teliti termasuk penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) di Johor pada Julai depan.

"Saya rasa pihak berkaitan seperti MSN, tuan rumah, Johor perlu berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MOM untuk melihat sama ada temasya ini perlu diteruskan ataupun ada pelan lain.

"Apa yang penting sekarang adalah keselamatan atlet, kalau diteruskan kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga serta melakukan modifikasi dengan program yang akan kita adakan," katanya.

Beberapa kejohanan peringkat antarabangsa terpaksa ditunda dan dibatalkan akibat ancaman wabak berkenaan, sekali gus menjejaskan peluang atlet negara untuk mengambil bahagian serta mengumpul mata melayakkan diri ke Olimpik.

Sebelum ini Tokyo dikatakan berisiko untuk kehilangan hak penganjuran Sukan Olimpik sekiranya ia ditangguhkan sehingga hujung tahun ini dengan jawapan muktamad perlu diketahui pada Mei depan.

Menteri Olimpik, Seiko Hashimoto memberitahu di parlimen bahawa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) boleh menggugurkan hak penganjuran temasya itu jika ia tidak dilangsungkan pada tahun ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 6, 2020 @ 8:03pm
    d