arena

Aksi Strasbourg, PSG ditunda

Oleh Reuters

AKSI Ligue 1 antara RC Strasbourg dan penyandang juara, Paris St Germain (PSG) terpaksa ditangguhkan berikutan penyebaran wabak koronavirus, jelas Liga Bolasepak Perancis (LFP) semalam.

Strasbourg terletak di Alsace iaitu salah satu wilayah yang mencatat jumlah kes koronavirus paling tinggi di Perancis, dengan bilangannya sebanyak 613 kes termasuk sembilan kematian.

“Berikutan keputusan yang dikeluarkan oleh ketua kawasan Bas-Rhin mengenai penyebaran wabak ini, perlawanan antara Strasbourg dan PSG ditangguhkan ke tarikh yang akan diberitahu kelak.

“Kami digesa untuk menangguhkan perlawanan berkenaan kerana 25 peratus datang dari kawasan Haut-Rhin,” kata Pengarah Am, LFP Didier Quillot.

Ia adalah aksi pertama Ligue 1 yang terpaksa ditangguhkan akibat wabak berkenaan dan beberapa acara sukan di negara itu juga menerima kesan daripada koronavirus.

Paris Maraton yang sepatutnya dijalankan pada 5 April, ditunda kepada 18 Oktober dan beberapa pasukan berbasikal menarik diri dari menyertai perlumbaan Paris-Nice walaupun ia akan bermula esok.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 7, 2020 @ 8:04am
    d