arena

Semangat V Shem, Wee Kiong membara

Oleh Aida Adilah Mat

PASANGAN beregu negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong tetap meneruskan latihan seperti biasa kerana tidak mahu fokus mereka memburu mata kelayakan ke temasya Olimpik terjejas ekoran penularan wabak koronavirus baharu atau Covid-19.

Biarpun masih belum ada pengesahan penundaan atau pembatalan kejohanan yang membabitkan tawaran mata ke Olimpik Tokyo Julai ini, V Shem berkata, kesihatan adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian.

Katanya, setakat ini dia bersama Wee Kiong dijadualkan menyertai lima pertandingan dan mereka tetap meneruskan latihan seperti biasa kerana tidak mahu rentak permainan terjejas.

“Tiada apa yang boleh dikatakan andai kejohanan dibatalkan kerana bagi saya kesihatan itu lebih diutamakan.

“Memang akan memberi kesan kepada kami untuk mengumpul mata kelayakan ke Olimpik tapi nak buat macam mana jika kejohanan dibatalkan.

“Cuma saya berharap, saya dan Wee Kiong dapat buat yang terbaik untuk kami layak ke Olimpik nanti,” katanya.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu dijadualkan akan menyertai Terbuka Swiss pada 17 hingga 22 Mac disusuli, Terbuka India (24-29 Mac), Terbuka Malaysia (31 Mac hingga 5 April), Terbuka Singapura (7-12 April) dan Kejohanan Badminton Asia (21-26 April).

Beregu negara itu kini berkedudukan ranking Olimpik di tangga ke-13 dan jika mahu mengulangi pencapaian empat tahun lalu layak ke Olimpik mereka harus memintas Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang sekarang ini memegang status beregu lelaki nombor satu negara.

Jika kedua-dua beregu itu mahu layak secara bersama, mereka perlu berada dalam kelompok lapan terbaik ranking Olimpik namun apa saja mungkin berlaku sehingga tarikh akhir kelayakan ke temasya berkenaan.

Untuk rekod sebanyak empat kejohanan badminton sudah dibatalkan setakat ini membabitkan Terbuka Poland, Jerman, Portugal dan Vietnam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 7, 2020 @ 9:55pm
    d