arena

FAM sah perlawanan kelayakan tangguh

Oleh Syazwan Msar

TIGA perlawanan membabitkan Harimau Malaya pada aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac dan Jun ditunda secara rasmi ke tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam dalam kenyataannya kepada media memaklumkan bahawa badan induk bola sepak itu mengesahkan sudah menerima surat rasmi daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengenai penangguhan itu.

Beliau berkata, tarikh terbaharu perlawanan akan dinyatakan selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan AFC mengadakan perbincangan lanjut berhubung status aksi berkenaan sebelum memaklumkan kepada ahli gabungan.

“Bagi skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe, penangguhan itu akan membabitkan tiga perlawanan Kumpulan G bertemu Emeriah Arab Bersatu (UAE) yang sepatutnya berlangsung di Dubai pada 26 Mac ini serta aksi bertemu Vietnam di Bukit Jalil (31 Mac) dan bertemu Thailand di Bangkok (9 Jun).

“Justeru, FAM masih berusaha untuk mendapatkan pengesahan pasukan bagi mengadakan Perlawanan Antarabangsa pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA bulan ini dan pihak AFC menetapkan bahawa sebarang permohonan perlu dihantar selewat-lewatnya pada Jumaat ini,” katanya, di sini.

Beliau berkata, isu Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini merumitkan untuk mengadakan perlawanan antarabangsa berikutan membabitkan perjalanan dari satu negara ke negara yang lain.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 9:09pm
    d