arena

TSG tarik diri angkara Covid-19

Oleh Malik Muhamad

AKIBAT penularan wabak koronavirus (Covid-19), pasukan basikal bertaraf benua, Terengganu Inc TSG Cyling Team (TSG) mengumumkan terpaksa menarik diri daripada menyertai lima jelajah dalam tempoh terdekat.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pasukan itu hari ini, Ketua Pegawai Operasinya, Nasiruddin Wan Idrus menyatakan pembatalan itu dibuat selepas mengambil kira semua faktor terutama kesihatan dan keselamatan pelumbanya.

Beliau berkata, pihak pengurusan bertanggungjawab melindungi barisan pelumbanya daripada sebarang risiko jangkitan memandangkan siri jelajah itu bakal disertai ramai pelumba dari serata dunia yang berbeza cara pengurusan dan strategi dalam menangani jangkitan berkenaan.

Katanya lima jelajah itu ialah BSB120 Brunei, Tour de Tochigi Jepun, GP Mediterannean Turkey, GP Justiniano Hotels Turkey dan Bieras A Serra da Estrela Portugal yang dijadualkan berlangsung sekitar Mac dan April.

“Kami sudah memaklumkan perkara ini kepada pihak penganjur dan juga Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF).

“Ini adalah keputusan terbaik yang boleh kami ambil bagi mengelak sebarang risiko yang akan menjejaskan pelumba dan kami akan memantau perkembangan Covid-19 secara dekat sebelum memutuskan menyertai mana-mana jelajah di luar negara selepas ini,” kata Nasiruddin dalam satu kenyataan.

Bulan lalu TSG mempertaruhkan dua muka baharu iaitu Christofer Jurado, 27, dari Panama dan Carlos Quintero, 33, dari Colombia yang pernah mewakili pasukan Monzana Postoban, Colombia dan China Continental Team of Gansu Bank, China bagi memperkuat pasukan itu musim ini.

Selain itu pasukan yang berpangkalan di Terengganu itu turut menyenaraikan dua pelumba muda tempatan, Wan Muhammad Hamizan Ifwat Wan Badrul Fadlisham dan Wan Abdul Rahman Hamdan.

Turut berada dalam senarai pelumba pasukan itu termasuk kapten, Mohd Zamri dan adiknya Mohd Harrif Saleh, Ovechkin Artem (Rusia), Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Muhamad Afiq Huznie Othman, Goh Choon Huat (Singapura), Irwandie Lakasek, Mohd Shahrul Mat Amin, Maral Erdene Batmunkh (Mongolia), Metkel Eyob Teweldeberhan (Eritrea), Drew Morey (Australia) dan Youcef Reguigui dari Algeria.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 7:35pm
    d