arena

Tok Gajah 'berkurung'

Oleh Asrol Awang

SKUAD Pahang tidak digalakkan berkunjung ke kawasan tumpuan ramai dalam usaha mencegah penularan Covid-19.

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, langkah pencegahan itu bagi memastikan barisan kejurulatihan dan pemain bebas daripada wabak terbabit.

“Setakat ini, skuad Pahang menjalani latihan seperti biasa dan sebaik menamatkan latihan, mereka tidak digalakkan berada di kawasan tumpuan ramai.

“Berdasarkan maklumat, setiap hari ada berlaku penambahan kes Covid-19 dan sudah pasti langkah pencegahan perlu dilakukan di kalangan pemain untuk mengelak daripada menjadi mangsa.

“Saya nasihatkan semua pemain supaya memantau perkembangan kes COVID-19 ini menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Mohammed Suffian berkata, keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menangguhkan saingan Liga Malaysia (Liga M) adalah tepat.

Katanya, ia termasuk keputusan tidak membenarkan penonton memasuki stadium membabitkan perlawanan Liga Super dan Liga Perdana bermula Jumaat lalu hingga semalam.

“Kita harap kes Covid-19 ini tidak berlanjutan dan pada masa sama, semua pemain menjaga kesihatan dan mengikut arahan yang diberikan KKM,” katanya.

Mengikut jadual, Pahang sepatutnya bertandang ke Stadium Darul Aman berdepan Kedah pada pusingan kedua Piala FA, Rabu ini, tetapi ditangguhkan kerana kebimbangan penularan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 8:04pm
    d