arena

FAM beroperasi seperti biasa

Oleh Firdaus Hashim

OPERASI pentadbiran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap berjalan meskipun ibu pejabat badan induk bola sepak tempatan di Wisma FAM, Kelana Jaya ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dari 18 hingga 31 Mac ini ekoran wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata, segala urusan mengenai bola sepak tanahair masih beroperasi seperti biasa dengan semua kakitangan diarahkan untuk bekerja dari rumah.

Malah, semua ahli gabungan FAM diseluruh negara juga boleh menghubungi Sekretariat Agung FAM sekiranya terdapat urusan dengan pihaknya.

“Semua ahli gabungan FAM sudah dimaklumkan menerusi emel pada Selasa lalu berkaitan perkara ini dan mereka juga diberikan senarai nombor telefon untuk dihubungi iaitu ketua-ketua unit di FAM jika terdapat urusan berkaitan dengan mana-mana unit di bawah Sekretariat Agung FAM.

“Untuk makluman juga, semua kakitangan FAM diarahkan bekerja dari rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini bagi memastikan segala kerja-kerja berkaitan dapat diselesaikan mengikut garis masa yang ditetapkan sekali gus operasi FAM dapat berjalan seperti biasa.

“Diharap semua pihak terutama ahli gabungan FAM dapat memberikan kerjasama sebaiknya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini bagi memastikan kelancaran dalam segala urusan yang berkaitan dengan Sekretariat Agung FAM,” katanya.

Terdahulu Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan bahawa semua perlawanan anjuran FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dari 13 hingga 15 Mac dijalankan secara tertutup tanpa penonton sebelum ia ditangguhkan berkuat kuasa pada Isnin lalu.

Selain pertandingan domestik, FAM turut terpaksa menangguhkan beberapa program lain termasuk kursus sijil kejurulatihan, kursus pengadil serta liga akar umbi, Liga SupaRimau yang sepatutnya sudah dimulakan pada bulan ini.

Biarpun tiada sebarang perlawanan liga domestik sama ada Liga Super, Liga Perdana, Piala FA, Liga M3 & M4, Piala Presiden, Piala Belia, Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) dan lain-lain, namun perkara berkaitan pengurusan, pengoperasian dan dokumentasi tetap perlu diteruskan dan atas dasar itu, FAM beroperasi seperti biasa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 7:23pm
    d