arena

Bincang dahulu

Oleh Firdaus Hashim

BEKAS pemain kebangsaan, Khalid Ali menempelak Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang disifatkannya umpama ‘kurang-kurang bubur, lebih-lebih sudu’ terutama ketika negara sedang bergelut dengan penularan wabak Covid-19.

Khalid berkata, isu pemotongan gaji susulan kesukaran pasukan menjana pendapatan menerusi jualan tiket selepas saingan Liga Malaysia (Liga M) ditangguhkan harus diambil sebagai perkara asas yang utama.

Katanya, penundaan Liga M bukan dibuat sesuka hati oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebaliknya keputusan sukar itu dilakukan selari dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

Lantas, seharusnya barisan kepemimpinan PFAM perlu bijak menangani cadangan pemotongan atau penstrukturan semula gaji dengan objektif untuk memenangkan kedua-dua pihak.

“Apalah salahnya, PFAM menasihatkan ahlinya supaya duduk berbincang dulu dengan pengurusan pasukan masing-masing. Selagi tak berbincang, macam mana nak tahu kaedah terbaik dan penyelesaian dalam isu ketiadaan duit oleh pasukan.

“Saya lihat pegawai PFAM ini lebih pandai daripada Kerajaan Malaysia. Kita tengok kerajaan pun memberi banyak kelonggaran dari segi pembayaran kereta, rumah dan kad kredit serta apa-apa saja mengenai rakyat yang difikirkan akan terbeban dengan masalah Covid-19 ini.

“Apa salahnya kita belajar daripada orang yang lebih pandai daripada kita. Suka sangat buat keputusan ikut perasaan dan akhirnya bukan dapat selesaikan masalah pun, tapi mengeruhkan lagi keadaan. Kerajaan sendiri boleh buat berunding dengan bank untuk membuat penstrukturan semula pembayaran sedangkan kita tahu undang-undang mereka lebih ketat.

“Apalah salahnya PFAM buat perkara sama dengan jadi orang tengah meminta pemain duduk berbincang dan mungkin boleh distrukturkan pembayaran gaji,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, FAM dan MFL meminta semua pemain dan majikan duduk semeja mencari titik persamaan dalam menyelesaikan isu pemotongan dan penstrukturan gaji pemain.

Bagaimanapun, gesaan itu tidak disenangi PFAM yang menentang cadangan berkenaan dan meminta majikan supaya menghormati kontrak pemain.

Jelas Khalid, isu Covid-19 ini bukan masalah kecil tetapi ia membabitkan nyawa manusia yang kemungkinan boleh ‘melayang’ dan disebabkan oleh itu segala aktiviti bola sepak terpaksa ditangguhkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 6:10am
    d