arena

Masih ada peluang

Oleh Aida Adilah Mat

ATLET olahraga negara masih berpeluang layak ke temasya Olimpik apabila kejohanan kelayakan hanya akan bermula 1 Disember ini dengan tarikh akhir kelayakan pada 29 Jun 2021.

Menurut ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil, kedudukan ranking juga tidak berubah dan ia masih kekal kerana tiada sebarang pertandingan yang menawarkan mata kelayakan akan dianjurkan sehingga Disember ini.

Justeru atlet negara seperti Lee Hup Wei atau beberapa atlet lain yang mempunyai potensi untuk melayakkan diri tidak perlu bimbang dan kini boleh meneruskan latihan seperti biasa. Sementara itu, Manshahar berharap, semua atlet olahraga negara akan terus bermotivasi dan mengikut perancangan yang diaturkan jurulatih masing-masing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Maklumat yang diterima daripada semua jurulatih saya melihat semua atlet negara berada dalam keadaan baik dan mereka menuruskan latihan seperti biasa untuk mengekalkan tahap kecergasan masing-masing.

“Saya lihat mereka masih dalam keadaan bermotivasi, jadi teruskan latihan seperti biasa dan jangan berputus asa kerana semua ini akan berakhir juga dan bersedia dengan apa juga keadaan nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Persekutuan Olahraga Dunia (WA) memaklumkan atlet yang sudah melayakkan diri akan kekal dapat beraksi secara automatik di Tokyo tatkala temasya berkenaan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos tahun depan.

Tarikh akhir untuk maraton dan 50 kilometer jalan kaki ditetapkan pada 31 Mei 2021, manakala acara lain ialah 29 Jun.

Ranking dunia WA juga dibekukan dan saingan musim ini akan dimulakan pada Jun namun segala keputusan sebelum bermulanya tempoh kelayakan tidak dikira.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 7:30am
    d