arena

Baiknya hati 'Mickey' Tok Gajah

Oleh Asrol Awang

PRIHATIN nasib golongan yang terjejas sumber pendapatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pemain Pahang, Faisal Abdul Halim mengambil inisiatif menyumbang barang keperluan kepada 20 penerima di Kampung Mengkuang Tili, Pulau Pinang.

Inisiatif Faisal atau Mickey itu turut dilakukan bersama dua abangnya dalam usaha meringankan beban penduduk kampung sepanjang tempoh PKP itu.

Faisal berkata, antara barang keperluan yang disumbangkan ialah satu kilogram ikan, beras, telur, gula, tepung dan minyak masak yang dikhususkan kepada golongan yang terjejas sumber pendapatan.

“Saya sedar dalam keadaan sekarang, sudah pasti ramai yang terkesan terutama ada yang mengalami masalah kewangan hingga sukar untuk membeli barang keperluan.

“Sebagai tanda prihatin dan memahami kesusahan yang dihadapi, saya bersama dua abang membuat keputusan mengumpul wang dan membeli barang keperluan kepada 20 penerima di kampung kami.

“Diharapkan dengan sumbangan ini, mereka akan berasa gembira memandangkan tempoh PKP sudah dilanjutkan sehingga 28 April ini,” katanya.

Ditanya rutin harian sejak PKP pada 18 Mac lalu, Faisal berkata, selepas melakukan latihan kecergasan di rumah, dia turut berniaga burger dan roti john dengan perkhidmatan penghantaran.

Katanya, setakat ini, dia bersyukur dengan sambutan yang diberikan penduduk kampung Mengkuang Titi.

“Hasil jualan ini juga antara sumber yang membantu membeli barang keperluan untuk disedekahkan kepada golongan yang memerlukan,” kata pemain Tok Gajah berusia 22 tahun itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 1:59pm
    d