arena

Zainal, pemain Melaka setuju potong gaji

Oleh Nazri Abu Bakar

JURULATH Melaka, Zainal Abidin gembira perbincangan bersama pengurusan bola sepak Melaka berkaitan isu tunggakan dan potongan gaji berjalan dengan lancar.

Baginya pertemuan membabitkan pemain, pegawai dan pengurusan yang berlangsung dua hari itu memberi impak positif terhadap situasi menang-menang untuk kebaikan bersama.

Katanya, dia dan anak buahnya menyambut baik penjelasan Persatuan Bolasepak Melaka United (Musa) diketuai Timbalan Presidennya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi termasuk berkaitan situasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

“Perbincangan telus mengambil kira semua aspek dengan kedua-dua pihak berbincang secara bersama untuk mencari penyelesaian terbaik.

“Malah kami juga turut bersetuju pemotongan gaji akibat Covid-19 yang menyaksikan Liga Malaysia terpaksa di tangguhkan selain pendapatan persatuan juga terjejas susulan wabak berkenaan,” katanya.

Zainal berkata, dalam masa sama pengurusan menyatakan akan membuat pembayaran sebulan tunggakan pada minggu hadapan, sementara pemotongan gaji akibat Covid -19 bermula gaji April.

Dalam masa sama dia juga amat gembira berikutan Ketua Menteri (KM), Datuk Sulaiman Md Ali kini memimpin persatuan sebagai presiden dan seluruh pemain dan pembantu jurulatih turut mengucapkan tahniah diatas pelantikan terbabit.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, seluruh warga Musa juga amat bangga dengan kesediaan KM memimpin persatuan berkenaan yang baru memimpin kira-kira dua minggu lalu.

Dalam masa sama katanya, penyelesaian secara baik dan positif berkaitan tunggakan dua bulan gaji (Februari dan Mac ) serta potongan gaji berjalan dengan suasana harmoni dan ceria.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 6:34pm
    d