arena

Siti Shahida pantau atlet berlatih di rumah

Oleh Mohd Rafi Mamat

BEKAS jaguh acara tukul besi negara, Siti Shahida Abdullah mengingatkan kepada atlet muda tidak culas dan malas untuk mengadakan latihan di rumah terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dia yang kini memikul tanggungjawab melatih sembilan atlet Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SKMP) Gambang menegaskan, disiplin diri perlu ada pada setiap atlet sekiranya mereka ingin terus meniti kejayaan dalam acara sukan yang ceburi.

Katanya, sembilan atlet acara lontar peluru, lempar cakera dan tukul besi bawah umur 15 hingga 16 tahun di bawah bimbingannya kini disyaratkan untuk mengadakan latihan sendiri di rumah selama sejam sehari sepanjang PKP, tidak ada sebarang pengecualian melainkan berdepan masalah kesihatan.

"Mereka perlu menghantar rakaman video sesi latihan yang dilakukan di rumah sebagai bukti, saya dan pihak sekolah akan memantau aktiviti yang dilakukan atlet sepanjang PKP. "Prestasi atlet pasti akan menurun sekiranya mereka tidak cergas, daripada situ kita akan dapat mengesan sekiranya mereka tidak mengikut jadual latihan yang disediakan," kata pemenang pingat emas baling tukul besi Sukan Sea Korat 2007 itu.

Beliau yang digelar wanita besi sepanjang enam tahun (2001-2007) mewakili negara berkata, beberapa atlet berjaya diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Siti Shahida yang memikul tugas melatih atlet muda di SSMP dan Sekolah Sukan Malaysia Bukit Jalil (SSBJ) sebelum ini berjaya mengumpul dua pingat emas (2005-2007) dan dua gangsa (2001-2093) Sukan Sea.

Sepanjang mewakili negara dia berpendapat, kekuatan mental perlu ada pada setiap atlet apabila terpaksa berkurung dalam rumah dalam tempoh masa yang panjang. "Saya berpesan kepada atlet saya supaya tidak terlalu memikir keadaan semasa, lakukan latihan yang ditetapkan selain tidak ketinggalan mengulang kaji pelajaran.

"Walaupun keputusan penganjuran kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 dan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) belum diputuskan latihan tetap perlu diteruskan," katanya yang atlet kelahiran Kuantan itu.

Sementara itu, bagi atlet lontar peluru, Nurul Aqma Mohamad Nizam, setiap hari dia mengadakan latihan di rumah selama sejam dalam usaha mengekalkan kecergasan, pelbagai teknik dilakukan.

"Saya perlu mengikut peraturan yang ditetapkan jurulatih dan SSMP supaya prestasi saya tidak jatuh seterusnya akan menjejaskan masa depan untuk terus mewakili negara di pentas antarabangsa," katanya yang berasal dari Kedah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 6:26pm
    d