arena

Kejohanan Berbasikal Kebangsaan dibatalkan

Oleh Aida Adilah Mat

KEJOHANAN Berbasikal Kebangsaan yang sepatutnya berlangsung pada Ogos ini akan dibatalkan berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak mungkin boleh dipatuhi oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah ketika ditemui memaklumkan perkara itu namun ia mungkin akan berubah sekiranya kerajaan menukar syarat SOP dalam waktu terdekat ini.

Abu Samah berkata, mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan tamat pada 31 Ogos ini tidak dibenarkan untuk bercampur dalam pertandingan dan itu adalah sesuatu yang mustahil dalam sukan berbasikal.

"UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) sudah menetapkan bahawa setiap Kejohanan Kebangsaan perlu diadakan pada Jun lalu namun kerana Covid-19 ia ditunda kepada Ogos dan ketika itu kita masih lagi dalam PKPP.

"Dalam sukan berbasikal ini rasanya susah. Mesti ada percampuran membabitkan pelumba, mekanik dan sebagainya jadi memang tak boleh ikut SOP. Kecuali tak ada lagi SOP yang melarang percampuran dalam pertandingan jadi ia mungkin boleh dianjurkan," katanya.

Kejohanan Berbasikal Kebangsaan adalah acara wajib yang dianjurkan oleh setiap negara oleh UCI yang sepatutnya dilangsungkan pada 27 hingga 28 Jun.

Ia kejohanan yang akan memberi mata dalam kedudukan pelumba yang menyertainya.

Namun, jika ia tidak dapat dianjurkan berdasarkan polisi kerajaan, tiada sebarang denda akan dikenakan oleh UCI kepada pihak PKBM.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 7:50pm
    d