arena

Pelitup muka istimewa Lang Merah

Oleh Izzali Ismail

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) tampil memperkenalkan produk penutup hidung dan mulut (face mask) berkonsepkan aksesori kepada peminatnya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan hingga ke hujung tahun ini.

Media KFA memerusi laman rasmi facebook memaklumkan penjualan produk berkenaan yang dikenali sebagai 'Green KFA Breathing Valve Mask' kini sudah dibuka untuk tempahan secara dalam talian bermula hari ini.

"Harga yang ditawarkan RM25 setiap set sementara harga untuk kanak-kanak pula RM18 dan pembelian tidak termasuk kos penghantaran RM6 yang mana pembelian boleh dilakukan melalui pautan https://kovra.com.my/kedahfa/.

"Setiap tempahan dalam talian untuk set penutup hidung dan mulut dengan corak warna hijau dan kuning ini sedia untuk penghantaran secara pos bermula 7 September.

"Bagi peminat yang mahu mendapatkan secara langsung, KFA juga menyediakan perkhidmatan jualan di premis FA Kedah di Alor Setar dan di stor jualan oleh Kovra di Bertam, Pulau Pinang bermula 8 September.

Sementara itu, Pegawai Media KFA, Tajul Arifin Bin Kamal Baharin berkata usaha dari jualan produk itu sedikit sebanyak dapat membantu sumber pendapatan KFA.

"Produk penutup hidung dan mulut ini turut digunakan pemain, jurulatih dan staf skuad Lang Merah semasa menghadiri perlawanan bola sepak.

"Dari segi keistimewaan pula ianya nampak menarik. Selain corak dan warna hijau kuning yang ditampilkan, ia juga sinonim dengan warna pasukan Kedah dan pasti ramai peminat yang mahu memakainya nanti.

"Ia selesa dipakai kerana turut dilengkapi saluran mudah bernafas dan diperbuat dari bahan kain berkualiti tinggi dan boleh dibasuh dan digunakan semula."

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 1, 2020 @ 6:35pm
    d