Bola Sepak

PKPB lanjut tak jejas saingan Piala Malaysia

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kempen Piala Malaysia dan baki aksi Liga Super serta Liga Perdana tetap akan dilangsungkan seperti mana dirancang oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 November ini di Lembah Klang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, perkembangan terbaharu PKPB itu tidak akan mengganggu perancangan MFL yang menetapkan 6 November ini sebagai tarikh permulaan saingan Piala Malaysia.

Malah, satu aksi Liga Super membabitkan Sabah dan UiTM FC serta perlawanan Liga Perdana antara Kuala Lumpur dan Kuching City pada 31 Oktober ini tetap akan dilangsungkan pada tarikh itu.

Jelasnya, masalah yang mungkin timbul berikutan lanjutan PKPB adalah membabitkan masalah venue terutama buat empat pasukan di Lembah Klang iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Petaling Jaya City (PJ City) dan UiTM FC.

"Kita sedar pasukan Lembah Kalng terkesan dengan PKPB ini, tetapi jangan bimbang MFL akan membantu mencari venue sesuai buat semua pasukan terbabit. Jadi kita tetap akan teruskan aksi Piala Malaysia dan takkan batalkan atau tangguhkan.

"Kita kena ingat, bola sepak juga adalah industri, sama seperti industri kilang yang meneruskan operasi mereka. Jadi bola sepak juga harus diteruskan," katanya ketika dihubungi, Arena Metro hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengesahkan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya disambung selama 14 hari lagi bermula esok sehingga 9 November ini.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendapati masih terdapat lokasi berisiko tinggi bagi penularan Covid-19 di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, PKPB diaktifkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 14 Oktober lalu khususnya di Lembah Klang sekali gus menyaksikan aksi Piala Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada 25 Oktober dipinda kepada 6 November.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 10:37pm
    d