Bola Sepak

MFL mohon Piala Malaysia diteruskan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar dapat mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan saingan Piala Malaysia musim ini.

Menerusi rayuan yang dikemukakan hari ini, MFL bercadang untuk memperketatkan lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) buat lapan pasukan yang layak ke suku akhir termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat iaitu "quarantine based".

Lapan pasukan itu adalah Johor Darul Ta'zim, Perak, Terengganu FC, Kedah, Selangor, UiTM FC, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Dua venue dipilih membabitkan negeri zon hijau yang bebas daripada wabak Covid-19 iaitu Stadium Sultan Mohamad Ke-IV di Kelantan dan Stadium Darul Makmur di Pahang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, keputusan untuk membuat rayuan kepada MKN itu diputuskan selepas mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL.

"Sebagai contoh pasukan-pasukan yang layak ke peringkat suku akhir akan bermain di sebuah negeri sehingga ke peringkat separuh akhir dan seterusnya ke perlawanan akhir.

"Pasukan-pasukan yang kalah pada perlawanan peringkat suku akhir dan separuh akhir akan meninggalkan negeri berkenaan selepas tamat perlawanan.

"Keputusan untuk mengemukakan rayuan ini turut disokong oleh lapan pasukan yang layak ke suku akhir di mana mereka bersedia untuk beraksi mengikut perancangan dan SOP seperti yang ditetapkan oleh MFL dan MKN," katanya.

Jelasnya lagi, saingan Piala Malaysia tidak boleh ditangguh lagi kerana ia akan memberi kesan buruk kepada industri bola sepak negara.

"Kami amat berharap agar perancangan ini dapat dipertimbangkan memandangkan penangguhan saingan Piala Malaysia bakal memberi banyak kesan kepada industri bola sepak negara secara keseluruhan.

"Bagi MFL serta semua pasukan bakal terkesan terutamanya dari segi komitmen penajaan yang sudah dimeterai dan ditandatangani bersama penaja-penaja untuk Liga Malaysia musim ini sekiranya pertandingan Piala Malaysia tidak dapat diteruskan.

"Agak sukar untuk MFL menangguhkan kejohanan ini memandangkan kontrak pemain-pemain bersama pasukan-pasukan bakal berakhir pada hujung bulan ini," katanya.

Sabtu lalu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan bermula semalam sehingga 6 Disember depan.

Lanjutan daripada pengumuman PKPB itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memohon maaf kepada peminat bola sepak apabila mesyuarat MKN bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan supaya saingan Piala Malaysia ditangguhkan seketika.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 10, 2020 @ 6:11pm
    d