Bola Sepak

Tak adil Piala Malaysia terhenti separuh jalan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Bekas jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah berpandangan Piala Malaysia masih boleh diteruskan sambil melihat pendekatan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menggunakan gelanggang pertandingan yang masih belum dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagai langkah yang tepat.

Seperti 'alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan', Azraai berkata, selepas pusingan pertama dapat dijalankan pada minggu lalu, adalah satu kerugian membiarkan pertandingan itu terhenti di separuh jalan.

Jelasnya, ini adalah pilihan terakhir bagi memastikan Piala Malaysia tidak dibatalkan buat kali pertama sejak tahun 1947 yang pada waktu itu terkesan kerana Perang Dunia kedua.

"Bagi saya banyak pihak akan terkesan jika Piala Malaysia dibuat selepas Disember nanti terutama libatkan kontrak pemain selain soal penajaan jika cadangan Piala Malaysia terpaksa dibatalkan.

"Jadi, rayuan yang dikemukakan oleh MFL dengan menggunakan gelanggang yang tidak terlibat dengan PKPB adalah pilihan terakhir yang tinggal dan memang wajar ini sahaja dibuat bagi memastikan Piala Malaysia mampu diteruskan.

"Perlawanan sudah memasuki suku akhir dan saya rasa, lebih baik dihabiskan dan semua pasukan sudah melakukan persiapan, jadi saya harap rayuan MFL itu nanti boleh dipertimbang sebaik-baiknya oleh pihak berwajib," katanya.

MFL sudah mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar dapat mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan saingan Piala Malaysia musim ini susulan permohonan meneruskan aksi Piala Malaysia ketika tempoh PKPB yang dikemukakan oleh MFL menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ditolak menerusi pengumuman oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Berdasarkan rayuan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, MFL bersedia mengikut perancangan khas serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat iaitu 'quarantine based'.

Selain itu, MFL menyediakan perancangan di venue berkecuali PKPB seperti Stadium Darul Makmur, Kuantan dan Stadium Sultan Mohamad ke-IV bagi aksi suku akhir, separuh akhir dan final.

Dalam pada itu, Azraai berpandangan komitmen MFL selama ini mengikuti segala SOP yang ditetapkan oleh MKN perlu diberikan kredit, malah sehingga kini masih belum ada kes berpunca daripada perlawanan membabitkan saingan Liga Malaysia.

Tambahnya, adalah sesuatu yang tidak adil jika Piala Malaysia terpaksa dihentikan memandangkan MFL sudah bekerja keras cuba memastikan penularan wabak Covid-19 tidak terjadi dalam kalangan pemain yang terlibat dalam saingan di Liga Malaysia.

"Sehingga kini kita tidak pernah dengar pula kluster pemain atau kluster stadium dan sebagainya kerana sepanjang saingan sebelum ini dan usaha MFL harus kita puji dalam mematuhi segala SOP yang disediakan.

"Jadi, saya rasa kenapa aksi Liga Malaysia perlu dihentikan kerana semuanya masih baik setakat ini malah MFL mengarahkan semua pasukan ikuti segala SOP yang telah ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 10, 2020 @ 11:16pm
    d