Bola Sepak

ABK tetap dianjurkan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) tetap akan dilangsungkan bagi menghargai usaha dan pengorbanan pemain dan pegawai sepanjang musim ini.

Meskipun saingan Liga Malaysia (Liga-M) hanya membabitkan persaingan dalam Liga Super dan Liga Perdana sahaja yang dijalankan secara satu pusingan itu, ia tetap akan diteruskan dengan kemungkinan ABK dilangsungkan bulan depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, beberapa perubahan bakal dilakukan mengikut norma baharu seperti pemilihan pemenang ditentukan menerusi atas talian.

Katanya lagi, kategori anugerah juga akan dikurangkan berbanding sebelum ini sehingga 19 kategori.

"Kita tetap akan adakan tahun ini. Cuma beberapa anugerah kita akan kurangkan mengikut kesesuaian semasa.

"Ia (ABK) masih di peringkat perbincangan dan kita akan ketahui selewat-lewatnya minggu depan mengenai perubahan dan tarikh sebenar ABK," katanya ketika dihubungi.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, status ABK menjadi tanda tanya adakah ia akan dilangsungkan atau tidak.

Secara tradisinya, apabila berakhirnya saingan Liga-M dihujung musim, MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menganjurkan ABK bagi mengiktiraf pemain dan pegawai yang bersaing dalam liga tempatan.

Namun dengan situasi tidak menentu ekoran penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan, status ABK menjadi persoalan adakah ia akan menjadi mangsa seperti mana beberapa pertandingan Liga-M yang dibatalkan antaranya Piala Malaysia, Piala FA, Piala Cabaran dan Liga M3.

Untuk rekod, ABK mula dianjurkan pada 2005 dan ia menjadi acara tahunan setiap tahun bagi menghargai pengorbanan pemain.

Pelbagai kategori dipertandingkan dari posisi penjaga gol, pertahanan, penyerang sehinggalah jurulatih dan penyokong turut diberi penghargaan pada malam itu.

Pemain-pemain seperti Muhammad Shukor Adan, Mohd Badhri Mohd Radzi, Norshahrul Idlan Talaha, Ahmad Hazwan Bakri dan Safiq Rahim adalah bekas pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dengan Safawi Rasid adalah juara bertahan untuk kategori utama itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 2:08pm
    d