Bola Sepak

CIMB, AirAsia tarik diri taja Liga M

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Penangan pandemik Covid-19 nyata memberi kesan kepada saingan Liga Malaysia (Liga M) apabila dua penaja disahkan menarik diri bermula musim depan.

Perkara itu disahkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) apabila CIMB dan AirAsia menyatakan hasrat untuk tidak lagi bersama, sekali gus bakal mengurangkan jumlah tajaan Liga M.

Begitupun, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan pihaknya tetap akan meneruskan saingan domestik pada musim depan meskipun berdepan kekurangan tajaan.

"AirAsia sudah menyatakan hasrat mereka untuk tidak melanjutkan penajaan bersama MFL bagi saingan Liga M musim 2021.

"Sementara CIMB pula, MFL sudah mengadakan pertemuan dengan mereka pada tiga hari lalu dan menyatakan hajat yang sama di mana pihak kami kini menunggu surat secara rasmi daripada CIMB yang tidak mahu melanjutkan penajaan bagi musim depan.

"Saya mewakili pihak MFL mahu mengambil kesempatan untuk melahirkan penghargaan kepada setiap penaja ini di atas sumbangan mereka kepada bola sepak negara ketika kita semua berdepan detik sukar dalam pandemik Covid-19 sebelum ini," katanya.

Bagaimanapun, Ghani mengumumkan Telekom Malaysia (TM) terus kekal komited untuk menjadi penaja utama Liga-M melalui perjumpaan beliau dan Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin dengan wakil pengurusan tertinggi TM pada 21 September lalu.

Tambahnya lagi, F&N 100Plus juga meneruskan komitmen sebagai penaja liga tempatan berbentuk barangan biarpun tidak meneruskan tajaan secara tunai seperti musim lalu.

Sementara itu, beliau memberitahu status Shopee selaku penaja masih berada di dalam peringkat rundingan berdasarkan kehadiran penonton di stadium pada musim 2021.

"Saya berharap semua pihak khususnya penyokong tidak panik di sebalik ketiadaan penaja-penaja ini di mana MFL tetap akan meneruskan Liga Malaysia seperti biasa.

"Dalam masa yang sama, MFL turut mengalu-alukan kedatangan penaja-penaja baharu dan pintu MFL sentiasa terbuka kepada mereka yang berminat bagi perancangan Liga M musim 2021 dan tahun-tahun akan datang.

"Saya mewakili MFL juga sentiasa mendoakan kepada setiap rakan kongsi dan kelab yang bermain dalam Liga M akan cekal teruskan perjuangan walaupun terpaksa mengharungi cabaran yang getir demi memajukan liga tempatan," katanya.

Untuk rekod, awal musim ini CIMB menandatangani perjanjian penajaan dengan MFL sebagai penaja utama bagi saingan liga elit tempatan, Liga Super dan juga perlawanan pembuka tirai, Piala Sumbangsih.

Difahamkan, nilai tajaan syarikat perbankan itu tidak lebih RM10 juta untuk dua tahun, manakala AirAsia memeterai perjanjian untuk menjadi syarikat penerbangan rasmi eksklusif Liga M.

Syarikat penerbangan tambang murah itu menyediakan pemotongan harga atau diskaun buat semua pasukan Liga M untuk terbang bersama AirAsia di seluruh Malaysia dan di rantau ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 8:06pm
    d