Bola Sepak

MFL belajar dari pengalaman lalu

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pengalaman pada musim lalu menjadi panduan buat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk bersedia dengan segala kemungkinan mengenai perjalanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini termasuk jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan selepas 26 Januari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, MFL sudah ada langkah-langkah tertentu jika keadaan ini berterusan bagi memastikan semua pertandingan di Liga M dapat berlangsung seperti dirancang.

Namun, memandangkan tempoh pelaksanaan PKP buat masa ini hanya selama dua minggu iaitu dari 13-26 Januari ini, beliau menegaskan perancangan asal Liga M masih kekal iaitu memulakan saingan pada 26 Februari.

"Sememangnya besar harapan kami agar PKP ini tidak berpanjangan kerana kalendar Liga M sudah dikeluarkan termasuk piala-piala tertentu bagi memastikan musim 2021 lebih lancar dan teratur.

"Bagaimanapun, MFL sudah ada pengalaman pada musim 2020 dan kita ada langkah-langkah tertentu jika situasi ini berpanjangan atau ada masalah sebagainya.

"Cuma buat masa ini perancangan MFL masih kekal dengan kalendar sedia ada kerana situasi sekarang masih di peringkat awal memandangkan kita masih di bulan Januari berbanding sebelum ini PKP yang dilaksanakan pada Mac.

"Jika PKP ditarik balik pada 26 Januari, maka semua pasukan mempunyai masa yang cukup mengadakan persiapan pramusim bagi hadapi liga yang akan bermula dengan Piala Sumbangsih pada 26 Februari, " katanya.

Pada Isnin lalu, kerajaan menerusi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari di enam negeri berkuat kuasa semalam hingga 26 Januari ini.

Beliau berkata, enam negeri terbabit adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah manakala Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh sama akan dikenakan terhadap enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Manakala dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), juga untuk tempoh sama.

Pelaksanaan PKP itu bermakna sebarang aktiviti seperti sukan berkumpulan yang membabitkan latihan dan perlawanan bola sepak, tidak dibenarkan sama sekali buat masa ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 10:22pm
    d