Bola Sepak

Atlet Paralimpik Tokyo perlu fokus berlatih

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Barisan atlet para negara dinasihatkan supaya tidak patah semangat tetapi sebaliknya kekal fokus menjalani latihan seperti biasa untuk persiapan menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang bakal berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 September depan.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Megat Zaharudin mengakui, semangat kebanyakan atlet kini agak merudum disebabkan ketiadaan pertandingan akibat penularan pandemik Covid-19, namun menasihatkan mereka supaya terus fokus menjalani latihan untuk berhadapan ujian sebenar yang menanti mereka di Tokyo nanti.

"Kemerosotan prestasi itu kita boleh lihat apabila tiadanya pertandingan, namun jadual latihan yang ditetapkan persatuan (sukan masing-masing) serta MSN (Majlis Sukan Negara) dan (barisan) kejurulatihan harus diikuti, dan kita hanya dapat tahu prestasi (sebenar) mereka sekiranya ada pertandingan," katanya.

Seramai 10 atlet para negara sudah melayakkan diri ke Tokyo membabitkan sukan renang, memanah, olahraga, boccia dan powerlifting iaitu Muhd Nursaiful Zulfikri dan Brenda Anelia (renang); S Suresh dan Wiro Julin (memanah); Muhammad Ziyad Zolkefli, Wong Kar Gee, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Abdul Latif Romli (olahraga); Chew Wei Lun (boccia) dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting).

Sebelum ini, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan Kerajaan Jepun bersetuju untuk meminda tarikh penganjuran Sukan Paralimpik 2020 yang sepatutnya berlangsung dari 25 Ogos hingga 6 September 2020 kepada 24 Ogos hingga 5 September 2021 susulan penularan pandemik Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 29, 2021 @ 10:16pm
    d