Hoki

Tidak sertai MHL kerana Covid-19

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Hockademy mengambil keputusan untuk tidak menyertai Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021, yang dijadualkan dari 8 Januari hingga 28 Februari depan disebabkan ketidaktentuan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.

Kelab berkenaan menerusi kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat sebulat suara oleh majlis tertinggi pengurusannya pada 15 November lalu, sekali gus menyaksikan skuad wanita Hockademy terlepas peluang mempertahankan kejuaraan MHL.

Menurutnya, pihaknya akan menghadapi kesukaran mengadakan sesi pemilihan dan latihan sekiranya menyertai liga, selain tempoh persiapan yang singkat susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dilaksanakan di Lembah Klang sehingga 6 Disember ini.

"Antara sebab lain ialah wujud kemungkinan PKPB akan disambung lagi sekali gus menimbulkan ketidaktentuan tarikh penganjuran MHL dan kemungkinan ia akan ditangguhkan. Kes Covid-19 masih mencatat bacaan empat angka sekali gus menimbulkan kebimbangan dan ancaman kesihatan ke atas pemain dan pegawai pasukan.

"Sukar untuk mendapatkan penajaan ketika rata-rata syarikat terjejas dan berdepan impak kewangan yang teruk sepanjang tahun ini. Apapun, pihak Hockademy mendoakan kelicinan penganjuran MHL 2021 buat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) selain mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pasukan yang mengambil bahagian," menurut kenyataan itu.

Hockademy bagaimanapun berkata pihaknya bersedia untuk mengambil bahagian dalam Liga Hoki Remaja Malaysia 2021 tetapi bergantung kepada situasi pandemik ketika itu.

"Buat masa ini pihak Hockademy hanya ingin menumpukan kepada program pembangunan akar umbi kami yang dikenali sebagai Program Hocka Kids," menurut kelab itu.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata Hockademy terlepas peluang menyertai MHL 2021 kerana gagal mengesahkan penyertaan selepas tarikh tutup pendaftaran tamat pada 19 November lalu.

Kelab yang dimiliki Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin itu, mencipta sejarah apabila muncul juara liga pada penampilan sulung dalam kategori wanita, manakala skuad lelaki pula menamatkan saingan di kedudukan keenam daripada lapan pasukan liga.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 8:18pm
    d