Hoki

MHC tangguh MHL 2021

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memutuskan untuk menangguhkan kejohanan Liga Hoki Malaysia 2021 (MHL) dan pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat tidak lama lagi.

Kejohanan yang akan membuka tirai pada 14 Januari hingga 20 Februari depan bagi kategori lelaki dan 20 Januari hingga 20 Februari bagi kategori wanita itu adalah perlawanan sulung tempatan dianjurkan mengikut kalendar kejohanan MHC bagi musim 2021, yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Bagaimanapun, difahamkan bahawa keputusan menangguhkan liga terpaksa dibuat berikutan peningkatan kes Covid-19 dalam negara dengan jumlah tertinggi mencecah 3,027 kes semalam.

Menurut sumber, MHC juga sudah membatalkan mesyuarat pengurus pasukan, pegawai teknikal dan pengadil yang dijadualkan dalam beberapa hari lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC, Datuk Seri Anil Jeet Singh ketika dihubungi sekadar memaklumkan bahawa satu sidang media akan diadakan di pejabat MHC dalam tempoh satu atau dua hari lagi.

Berikutan ancaman Covid-19, badan induk sukan hoki Malaysia itu bersetuju untuk menganjurkan kejohanan tanpa kehadiran penonton, menetapkan prosedur operasi standard (SOP) ketat serta memperkenalkan format perlawanan baharu yang dijalankan secara saingan liga satu pusingan dengan pasukan di tangga teratas liga akan muncul selaku juara liga.

Saingan 2021 bakal menampilkan Sabah selaku muka baharu bagi kategori lelaki selain tujuh pasukan musim lalu Pasukan Hoki Terengganu (THT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, Universiti Teknologi Mara (UITM) dan Nurinsafi HT akan merebut kejuaraan tahun 2021.

Bagi saingan wanita pula, PKS Uniten – KPT, PDRM Blue Warriors, Mutiara Impian- MSSPP-PSHA dan Sabah adalah empat pasukan musim lalu akan menerima cabaran daripada Young Tigress dan UniKL Ladies yang membuat penampilan kali pertama bagi musim 2021.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 8, 2021 @ 6:19pm
    d