Hoki

Tangguh MHL beri 'tempoh bertenang'

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Penangguhan Liga Hoki Malaysia (MHL) sudah pasti memberi kesan mendalam kepada pemain yang menanti hampir setahun untuk memulakan saingan musim baharu yang sepatutnya bermula pertengahan bulan ini.

Malah penangguhan Kejohanan Trofi Juara-juara Asia Lelaki 2021 di Dhaka, Bangladesh pada 11-19 Mac depan dan Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Wanita 2021 di Donghae, Korea Selatan pada 31 Mac demi keselamatan dan kesihatan semua pemain dan mereka terlibat susulan pandemik pandemik Covid-19 juga menambah lagi 'derita' pemain yang begitu 'gian' untuk beraksi.

Namun disebalik penangguhan itu, ia terselit hikmah buat pengendali baharu Pasukan Hoki Terengganu (THT), K Rajan yang menyifatkan tempoh bertenang itu adalah keputusan yang tepat bagi menjamin keselamatan mereka yang terlibat.

"Secara peribadi saya bersetuju dengan langkah Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), menangguhkan liga hoki paling berprestij dalam negara itu.

"Selain bagi membendung pandemik Covid-19 serta mengelak wujudnya 'kluster hoki', ia secara tidak langsung juga bagi menjamin kesihatan dan keselamatan semua pemain dan juga pegawai bertugas.

"Selain itu ia dapat memberikan lebih masa kepada semua jurulatih termasuk saya untuk membimbing pasukan kerana jika perlawanan kekal dengan tarikh asal, saya hanya ada kira-kira dua minggu sahaja melatih pemain.

"Situasi ini sudah tentu merumitkan untuk saya mengatur strategi dan sebagainya kerana masa tidak cukup, jadi saya menyokong penuh keputusan MHC menunda tarikh perlawanan itu pada Julai atau Ogos depan," katanya kepada Sukan NSTP ketika dihubungi.

Rajan yang pernah membimbing skuad muda kebangsaan ke Piala Dunia Remaja 2009 selain pernah menjadi jurulatih pasukan TNB selama 12 musim berkata, buat masa ini semua pemain THT melakukan latihan secara kendiri di tempat masing-masing.

"Kita hanya sempat bersemuka hanya beberapa minggu bermula 27 Disember tahun lalu, tapi kita tetap membuat pemantauan melalui dalam talian dan pemain perlu menghantar data kepada jurulatih.

"Jika keadaan negara kembali reda daripada wabak pandemik Covid-19 ini, kita akan 'berkampung' di Terengganu bagi memastikan persiapan pasukan benar-benar mantap sebelum liga bermula," katanya.

Sebelum ini gergasi Pantai Timur itu yang mensasarkan sekurang-kurangnya satu piala kejuaraan musim ini selepas gagal meraih sebarang trofi musim lalu menyambar lima bekas tonggak TNB termasuk penyerang kebangsaan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Shello Silverius, Muhammad Arif Syafie Ishak, Syarman Mat Tee dan Muhammad Noor Firdaus Rosdi.

Selain itu THT turut mengekalkan pemain adik-beradik, Faizal dan Fitri Saari selain bekas kapten negara, Shahrun Nabil Abdullah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 11:34pm
    d