Sukan Lain

TSG kecewa tapi akur

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) mengakui bahawa mereka kecewa dengan pembatalan perlumbaan elit di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2021 namun akur dengan keputusan yang sudah di buat oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Human Voyage.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, TSG sedar akan keadaan semasa iaitu penularan Covid-19 yang memaksa perlumbaan berstatus jelajah dunia itu terpaksa dibatalkan.

"Walaupun kecewa tidak dapat berlumba di LTdL tahun depan, TSG akur dengan keputusan yang dibuat oleh PKBM, KBS dan Human Voyage.

"Kita masih dalam gelombang ketiga Covid-19 dan dijangka ia akan berterus sehingga awal tahun hadapan.

"Kami masih berbincang di peringkat dalaman (TSG) mengenai perancangan untuk pasukan tahun hadapan dari segi perlumbaan dan juga kem latihan.

"Ada banyak faktor yang perlu dipertimbangkan seperti keadaan semasa (Covid-19), kawalan sempadan yang berbeza di setiap negara dan juga kos," katanya.

Terdahulu Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab memaklumkan keputusan pembatalan perlumbaan LTdL 2021.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menjelaskan keputusan berkenaan dicapai memandangkan masa yang sangat suntuk untuk semua pihak melakukan persiapan rapi rentetan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak awal tahun ini.

LTdL cukup sinonim dengan TSG yang mana menyaksikan pelumbanya, Harrif Salleh berjaya merangkul dua kemenangan peringkat, peringkat kelima dan ketujuh pada edisi ke-25 tahun ini.

Bagaimanapun Harrfif tidak dapat meneruskan rentak kemenangan itu apabila pengurusan TSG mengumumkan menarik diri daripada menyertai lima jelajah perlumbaan di luar negara angkara wabak Covid-19.

Lima jelajah itu ialah BSB120 Brunei, Tour de Tochigi Jepun, GP Mediterannean Turki, GP Justiniano Hotels Turki dan Bieras A Serra da Estrela Portugal yang dijadualkan berlangsung sekitar Mac dan April 2020.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 9:00pm
    d