Sukan Lain

Akmal tak kecewa LTdL batal

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Juara berbasikal kebangsaan dari Team Sapura Cycling (TSC), Akmal Hakim Zakaria tidak kecewa apabila perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) dibatalkan.

Akmal Hakim dan rakan pasukan yang lain akan terus mempersiapkan diri untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan.

Katanya, sebagai seorang pelumba dia perlu sedar akan perkara yang mungkin berlaku justeru latihan perlu diteruskan seperti biasa bagi mengekalkan momentum di tahap terbaik.

Pelumba berusia 24 tahun itu berkata, apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah kekal bersedia malah penularan wabak Covid-19 ini juga tidak membuatkan dirinya tertekan biarpun banyak perlumbaan terpaksa dibatalkan.

"Bagi saya pembatalan LTdL tidak memberi masalah untuk saya dan juga rakan pasukan yang lain. Biarpun LTdL batal, latihan tetap diteruskan seperti biasa. Jadi bila ada saja pertandingan kami akan sentiasa bersedia.

"Masih banyak masa untuk saya beraksi di LTdL. Jika tahun depan tak ada, saya akan cuba lagi untuk tahun seterusnya kerana memang itu kerja saya sebagai pelumba," katanya.

Berikutan pandemik Covid-19 ini, kebanyakan perlumbaan di Asia sudah dibatalkan dengan TSC kini merancang untuk beralih angin menyertai Jelajah Turki ataupun ke Perancis.

Ditanya mana satu pilihan, pelumba yang pernah menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada Jelajah Cambodia awal tahun lalu berkata, dia amat berharap dapat berlumba di Eropah.

"Kalau diberi pilihan saya nak ke Perancis. Sebelum ini pernah berlumba di Turki pada 2018 jadi kali ini kalau ditanya saya mahu menimba pengalaman di Eropah.

"Merasai cabaran dan suasana perlumbaan dengan corak dan gaya perlumbaan di sana. Sebab untuk tahun depan saya harap dapat diberi peluang untuk beraksi di ACC (Kejohanan Berbasikal Asia) dan juga Sukan Sea," katanya.

Diberi kepercayaan untuk beraksi buat kali pertama di Sukan Sea Manila tahun lalu, Akmal berkata, dia berharap agar terus diberi kepercayaan mewakili negara ke temasya itu.

Keupayaannya sebagai pelumba domestik dan boleh beraksi dua-dua laluan pecut dan pendakian mampu untuk membantu negara dalam menggapai pingat emas yang kali terakhir dimenangi Malaysia di temasya dwi tahunan itu pada 2015 menerusi Harrif Saleh.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 1:56pm
    d