Sukan Lain

Olimpik Tokyo berdepan tambahan kos RM7.73 bilion

Oleh AFP

Tokyo: Penangguhan Sukan Olimpik Tokyo berikutan pandemik Covid-19 mungkin menelan tambah kos sebanyak AS$1.9 bilion (RM7.73 bilion) berbanding bajet asal AS$13 bilion (RM52.90 bilion), iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus.

Penganjur Sukan Olimpik akan memutuskan untuk menambah bajet bagi temasya sukan itu seawal pertengahan bulan depan selepas berbincang bersama kerajaan Jepun dan kota penganjuran Tokyo, lapor Yomiuri Shimbun tanpa mendedahkan sumber maklumat itu.

Sukan Olimpik 2020 terpaksa dianjakkan pada tahun depan berikutan penularan Covid-19 di seluruh dunia dan kini ia bakal dilangsungkan bermula 23 Julai 2021.

Bagaimanapun penangguhan itu menyaksikan tambahan kos baharu daripada tempahan semula venue dan pengangkutan untuk satu komuniti penganjuran temasya berskala besar.

Dengan kebanyakan negara mengalami gelombang kedua atau ketiga pandemik berkenaan, terdapat keraguan sama ada temasya sukan itu dapat dianjurkan namun pihak penganjur dan pegawai Olimpik menegaskan ia boleh dianjurkan dengan selamat.

Kos tambahan RM7.73 bilion itu tetap ada meskipun pihak penganjur pada bulan lalu memotong AS$280 juta (RM1.13 bilion) peruntukan dengan mengurangkan bilangan staf sehingga ke pertunjukan bunga api namun angka terbaru ini tidak termasuk kos berkaitan langkah pencegahan pandemik.

Pegawai menjangkakan kos berkaitan langkah pencegahan berhubung virus berkenaan akan dibayar oleh kerajaan Jepun, lapor media berkenaan.

Perancangan untuk langkah pengurangan seperti kos penganjuran didedahkan pada September lalu dengan melakukan pengurangan tiket percuma, pemansuhan sambutan ketibaan atlet dan penjimatan terhadap maskot dan sepanduk.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 1:15pm
    d