Sukan Lain

Tiga kejohanan berbasikal diteruskan tahun depan

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan tiga kejohanan berbasikal yang terpaksa ditunda sebelum ini akibat pandemik Covid-19 akan diteruskan seperti biasa pada tahun hadapan.

Tiga kejohanan berkenaan adalah Jelajah Malaysia dari 6-10 April 2021, Le Tour de Femina (7-12 Sept 2021) serta Tour of Peninsular dari 13-17 Okt 2021.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abdul Wahab berkata, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sudah meluluskan pendaftaran ketiga-tiga kejohanan berkenaan, namun penganjuran kesemua kejohanan itu masih bergantung kepada keadaan pandemik Covid-19.

"Kalau keadaan bertambah baik, mungkin tiada masalah untuk kami mendapat kebenaran (daripada pihak berkuasa) untuk menganjurkan kesemua kejohanan ini," katanya kepada Bernama.

"Kami tidak berdepan masalah untuk mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa pada Kejohanan Kebangsaan di Melaka pada September lalu dan tiada kes jangkitan Covid-19 dilaporkan selepas berakhirnya kejohanan berkenaan," jelas Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).

Baru-baru ini, PKBM memutuskan untuk membatalkan penganjuran kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi yang dijadualkan berlangsung dari 30 Jan hingga 6 Feb 2021 dan memutuskan ia akan diadakan semula pada 2022.

Pembatalan berkenaan diputuskan badan induk itu selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 30, 2020 @ 2:37pm
    d