Sukan Lain

ToP dapat maklum balas positif

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Penganjur perlumbaan berbasikal Tour of Peninsular (ToP), Motoshoot Event Sdn Bhd mengakui banyak pasukan menantikan penganjuran perlumbaan itu yang akan berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober tahun depan.

Ketua Pegawai Operasinya, Emir Abdul Jalal berkata, sehingga kini pihaknya menerima banyak permintaan termasuk dari pasukan luar untuk beraksi pada perlumbaan itu yang ditangguhkan pada tahun ini kerana Covid-19.

"Kebiasaannya agak sukar untuk mendapatkan pasukan luar tetapi maklum balas yang saya terima setakat ini terdapat berpuluh pasukan mahu menyertai perlumbaan itu.

"Pertamanya mungkin kerana kami mempunyai rekod yang baik pada edisi pertama tahun lalu dan kedua mungkin tidak banyak perlumbaan yang akan berlangsung pada tahun depan," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abdul Wahab mengesahkan tiga kejohanan berbasikal yang terpaksa ditunda sebelum ini akibat pandemik Covid-19 akan diteruskan seperti biasa pada tahun hadapan.

Tiga kejohanan berkenaan adalah Jelajah Malaysia dari 6-10 April 2021, Le Tour de Femina (7-12 September 2021) serta ToP.

Mengulas lanjut Emir berharap perlumbaan berstatus 2.1 itu dapat dilangsungkan secara normal selain mengharapkan pandemik Covid-19 di negara ini beransur pulih.

Katanya, jelajah lima peringkat itu juga dijangka mampu membantu memulihkan semula sektor pelancongan selepas terjejas akibat Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 7:52pm
    d