Sukan Lain

IOC harap semua bersabar [VIDEO]

Oleh AFP

Lausanne: Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach meminta semua bersabar mengenai Olimpik Tokyo, yang sepatutnya berlangsung pertengahan tahun kembali menjadi tanda tanya disebabkan pandemik Covid-19.

Olimpik Tokyo sepatutnya berlangsung tahun lalu namun ditangguhkan berikutan gelombang pertama Covid-19, sekali gus menjadi temasya Olimpik pertama terpaksa berdepan masalah seperti itu.

IOC dan penganjur mengatur semula tarikh baru bagi temasya berkenaan yang akan bermula 23 Julai hingga 8 Ogos tahun ini.

Bagaimanapun, beberapa laporan media mendakwa temasya itu tidak boleh dijalankan, sehingga memaksa Bach perlu memberikan reaksi segera selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif IOC.

"Kami tidak terjejas dari segi masa atau tenaga dengan spekulasi, sama ada temasya itu akan dijalankan atau tidak

"Kami sedang berusaha untuk melihat bagaimana temasya itu akan dilangsungkan. Disebabkan itu kami tidak mahu 'mencurah minyak' ke atas spekulasi itu," kata Bach.

Beliau berkata, kerumitan mengenai penganjuran temasya itu kembali hangat diperkatakan disebabkan peningkatan kes Covid-19.

"Kami hanya memintas semua bersabar dan faham, itulah pesanan utama yang ingin disampaikan. Saya rasa ia masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan.

Selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif sebelum ini, IOC mengeluarkan kenyataan pada 12 Disember, iaitu hari yang sama vaksin Pfizer diluluskan di Amerika Syarikat, akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam penganjuran temasya itu.

Sementara itu, kejohanan ujian pertama Olimpik Tokyo 2021 terpaksa ditangguhkan akibat sekatan perjalanan di bawah undang-undang darurat Covid-19 Jepun.

Acara renang berirama yang juga dijadikan sebagai kelayakan ke temasya itu sepatutnya diadakan pada 4 hingga 7 Mac di Tokyo namun ditangguhkan dua bulan kemudian.

Penganjur Olimpik Tokyo 2020 berkata kejohanan itu dijadualkan akan berlangsung dari 1 hingga 4 Mei depan di Pusat Akuatik Tokyo.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 28, 2021 @ 1:45pm
    d