Sukan Lain

Mohon benarkan sambung STL

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berharap kelonggaran aktiviti sukan dan rekreasi memberi harapan kepada pihaknya untuk meneruskan Kejohanan Piala Liga Sepaktraw (STL) yang terpaksa dihentikan sebelum ini akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presidennya Datuk Seri Ahmad Ismail dalam satu kenyataan berkata, PSM berharap kelonggaran dapat diberikan seterusnya memberi petunjuk bahawa dunia sukan tanah air masih diberikan perhatian dan pembelaan sewajarnya.

"Saya penuh yakin bahawa kami di industri sukan negara akan tetap menyokong usaha kita semua untuk terus memerangi Covid-19 dan dalam masa yang sama akan terus kekal sebagai masyarakat Malaysia yang aktif dan cergas.

"Kita mohon juga supaya industri sukan dapat diaktifkan semula dan diseimbangkan dengan langkah keselamatan yang digariskan oleh kerajaan. Kegiatan sukan juga amat penting supaya rakyat akan terus hidup cergas dan sihat.

"Pada masa sama, penggiat sukan komited untuk memelihara dan memastikan SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan oleh kerajaan akan sentiasa diamalkan serta dipraktikkan," katanya, di sini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan pihaknya sudah membentangkan permohonan kelonggaran bagi sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh PKP di Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Jelasnya, pembentangan itu termasuklah cadangan dan pendekatan serta SOP kelonggaran yang menyentuh keseimbangan antara kelangsungan ekonomi dan kesihatan awam.

Ketika ini pihaknya bersama MKN sedang meneliti beberapa perkara lagi berkenaan SOP yang akan diambil dan keputusan muktamad akan diketahui dalam masa terdekat.

Sebelum ini, pengumuman PKP menyebabkan beberapa kejohanan seperti Piala Juara-Juara STL dan Liga Hoki Malaysia (LHM) terpaksa ditunda.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 6, 2021 @ 6:00pm
    d