Sukan Lain

Rakyat Jepun 'tak sudi' terima penyokong luar

Oleh AFP

Tokyo: Lebih 75 peratus rakyat Jepun tidak bersetuju dengan kemasukan penyokong luar untuk menghadiri Sukan Olimpik Tokyo ketika pihak penganjur bakal membuat keputusan berhubung perkara itu.

Proses undian yang dijalankan akbar harian Yomiuri Shimbun menyaksikan hanya 18 peratus daripada responden bersetuju membenarkan kemasukan penyokong luar ke Jepun manakala 77 peratus menentang.

Pihak penganjur minggu lalu berkata, keputusan berhubung perkara itu akan dimuktamadkan bulan ini, iaitu sebelum larian obor bermula 25 Mac.

Bagaimanapun media Jepun berkata, ketua temasya itu sudah memutuskan untuk menghalang kemasukan penyokong luar.

Presiden Tokyo 2020, Seiko Hashimoto berkata, pihak penganjur mahu menganjurkan temasya sukan itu dengan stadium dipenuhi penyokong dari serata dunia.

Bagaimanapun sukar untuk memenuhi hasrat itu jika Jepun berada dalam kedudukan tidak boleh menerima kemasukan penyokong luar dengan situasi berhubung kemudahan perubatan masih tidak sempurna.

Undian Yomiuri mendedahkan 45 peratus responden bersetuju penonton menyaksikan temasya itu manakala 48 peratus menentang.

Pihak penganjur sebelum ini berkata, mereka akan membuat keputusan berhubung jumlah kehadiran penonton ke stadium pada bulan depan.

Undian Yomiuri berlangsung dari 5 hingga 7 Mac menerusi panggilan secara rawak dengan 1,066 daripada 1,977 orang yang dihubungi memberikan maklum balas.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 11:56am
    d