Permotoran

'Terima kasih benarkan kami berlumba semula'

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kebenaran untuk membuka semula sektor sukan sesuatu yang ditunggu oleh penggiat sukan yang sememangnya menantikan berita itu demi karier dan masa depan masing-masing.

Antara yang gembira dengan keputusan itu adalah barisan pelumba Cub Prix negara yang sudahpun meneruskan aksi hari ini, pada aksi pusingan kelima perlumbaan Cub Prix Malaysia.

Biarpun tunggangan pelumba sedikit kekok dan ada yang mengambil pendekatan berhati-hati terutama selepas lebih dari tiga bulan tidak beraksi, namun ia dilihat satu permulaan terbaik yang mana baki empat pusingan akan diadakan secara berturut-turut.

"Terima kasih kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) kerana prihatin dan mendengar rintihan komuniti sukan.

"Terima kasih juga kepada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kerana memberi kebenaran untuk meneruskan perlumbaan dilitar ini dan biarpun jadual perlumbaan tidak mengikut apa yang dirancang sebelum ini namun apa yang penting adalah saingan diteruskan," kata pelumba Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing, Affendi Rosli yang menamatkan perlumbaan ditempat keenam.

Terdahulu pada saingan CP150 di Litar Utara SIC, Md Helmi Azman daripada Hi Rev SCK Honda Racing muncul juara, Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing) dan Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Biarpun perlumbaan terpaksa dilakukan berturut-turut namun ia sebenarnya memberi kelebihan buat pelumba dan krew bertugas kerana mempunyai masa untuk membuat pelarasan terbaik tanpa perlu masa yang lama.

"Biarpun jadual perlumbaan padat tapi bagi saya ia satu yang menggembirakan sebab kami tak meninggalkan motosikal terlalu lama.

"Kami ada masa untuk mencuba barang-barang baru dan menukar pelarasan dengan lebih mudah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 19, 2020 @ 8:36pm
    d