Permotoran

Sukan pemotoran kembali rancak 2021

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) mahu memastikan sukan permotoran bangkit semula pada tahun ini selepas melalui tempoh sukar sepanjang tahun lalu berikutan pandemik Covid-19.

Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir berkata, 2020 adalah musim yang unik untuk sukan permotoran selepas banyak perancangan terpaksa diubah.

"Industri sukan permotoran seperti yang lain terkesan dengan impak Covid-19. Ada penganjur yang kehilangan penaja. Bagi pasukan dan pelumba pula turut terkesan dengan pengurangan jumlah tajaan.

"Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kembali membenarkan acara perlumbaan dilangsungkan semula mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pada Julai.

"Bagaimanapun ia dihentikan semula pada Oktober kerana peningkatan jumlah kes Covid-19 tetapi bersambung Disember selepas situasi kembali bertambah baik," katanya dalam satu kenyataan.

Kalendar perlumbaan antarabangsa juga terpaksa dibatalkan dan ia termasuklah Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia yang sepatutnya berlangsung 30 Oktober hingga 1 November lalu.

Untuk tahun ini, Mokhzani berkata, MAM akan terus memastikan setiap perlumbaan dapat mengikut SOP ditetapkan.

"Kami akan cuba memastikan Covid-19 tidak menjejaskan proses pembangunan pelumba muda berbakat, pasukan dan penaja untuk terus bersama-sama memeriahkan sukan permotoran pada tahun ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 1, 2021 @ 6:33pm
    d