Permotoran

Litar lumba kembali hangat

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Industri permotoran negara kembali rancak menerusi perlumbaan Cub Prix yang dijadualkan membuka tirai pada bulan depan.

Presiden Persatuan Pelumba Motosikal Malaysia, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berkata, walaupun perkara berkenaan dalam perancangan penganjur, namun setakat ini tiada arahan pembatalan kejohanan itu walaupun kes pandemik Covid-19 masih pada tahap membimbangkan.

Beliau berkata, penganjuran kejohanan terbabit memberi sinar baharu kepada pelumba Cub Prix untuk mempamerkan aksi mantap selepas berehat lebih tiga bulan sebelum ini.

Katanya, jadual perlumbaan Cub Prix sudah dikeluarkan dan beberapa pelumba akan kembali menjalani latihan sebagai persiapan menyertai kejohanan itu.

"Saya jangkakan kejohanan Cub Prix akan kembali rancak pada Mac depan dengan setakat ini tiada pengumuman pembatalan atau penundaan perlumbaan itu.

"Penganjuran Cub Prix akan memberi nafas kepada industri permotoran negara berikutan beberapa perlumbaan sebelum ini terpaksa dihentikan akibat pandemik Covid-19.

"Sudah tentu, setiap pasukan dan juga individu yang terbabit dengan kejohanan berkenaan akan mematuhi standard operasi prosedur (SOP) lebih ketat bagi memastikan tiada penularan pandemik itu," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2021 dijadual kembali dengan 10 pusingan perlumbaan dengan pusingan pembuka tirai bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 20 hingga 21 Mac.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan penganjur kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd, jadual sementara ini diatur berdasarkan SOP semasa dengan mengambil kira andaian bahawa penonton masih lagi tidak dibenarkan hadir ke litar.

Justeru, jadual 2021 ini akan menjadi seakan jadual musim lalu dengan semua perlumbaan bakal dianjurkan di litar tetap.

Empat daripada 10 pusingan akan berlangsung di SIC manakala dua lagi pusingan masing-masing di Litar Tangkak, Johor dan Terengganu.

Pengarah Safe Aim Mutual (SAM) Sdn Bhd, Ron Hogg berkata, dua lagi baki pusingan bagaimanapun masih belum dapat ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 7, 2021 @ 7:05am
    d