bisnes

Koronavirus tidak jejas ekonomi

Oleh HM Bisnes

WABAK koronavirus baharu tidak memberi implikasi kepada ekonomi Malaysia setakat ini, tetapi akan menjejaskan pertumbuhan negara sekiranya penularannya berterusan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata masih belum ada keperluan untuk Malaysia menghentikan sementara aktiviti import eksport barangan dari China, terutamanya Wuhan dan kerajaan mengambil pelbagai langkah proaktif untuk menangani jangkitan itu dan memantaunya secara dekat.

“Seperti yang berlaku dengan penyakit lain sebelum ini, sekiranya berterusan pasti akan memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Namun saya tidak mahu membuat spekulasi kerana ini perkara serius yang perlu dipantau agensi dan kementerian berkenaan. Kita akan ambil maklumat dan nasihat mereka mengenai apakah langkah seterusnya untuk diambil,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani kerjasama strategik antara Petroliam Nasional Bhd dan Agrobank, semalam.

Setakat ini, empat kes koronavirus dikesan di negara ini.

Mengenai prestasi ringgit dan pasaran saham yang agak rendah berbanding pasaran serantau, Azmin berkata, asas ekonomi Malaysia masih kukuh dan pelabur tetap yakin untuk memilih Malaysia sebagai destinasi yang strategik.

Katanya, sejak setahun lalu kerajaan mengambil pelbagai inisiatif untuk mengembalikan keyakinan pelabur dengan menggunakan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran Asean.

“Daripada statistik, keyakinan pelabur kembali untuk datang ke Malaysia dan dengan pengumuman mengenai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International yang baik baru-baru ini pastinya dapat membantu memulihkan keyakinan pelabur,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 7:01am
    d