bisnes

Sedia bantu negara terjejas

Oleh Hazwan Faisal Mohamad

BANK Dunia akan memberikan sokongan dalam bentuk bantuan kewangan, teknikal, analisis, dan perkongsian pengalaman global mengenai pandemik atau epidemik kepada kerajaan China serta negara lain yang terkesan dengan penularan koronavirus, termasuk Malaysia.

Naib Presiden Bank Dunia bagi Asia Timur dan Pasifik, Dr Victoria Kwakwa berkata, bagi tujuan itu, pihaknya bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan agensi lain.

Bank Dunia juga katanya, memantau secara teliti penularan koronavirus yang merebak ke beberapa negara serta impaknya terhadap ekonomi dunia.

“Bank Dunia mula mengkaji impak wabak ini terhadap ekonomi dunia. Namun, saya masih belum boleh memberitahu sebarang angka secara jelas kerana ia masih terlalu awal.

“Kami meneliti beberapa analisis yang pernah dibuat membabitkan impak ekonomi daripada episod penularan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS),” katanya pada sidang media sempena perjanjian melanjutkan tempoh Pejabat Kumpulan Bank Dunia di Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menerusi perjanjian itu, pejabat Bank Dunia dilanjutkan tempohnya untuk beroperasi di Malaysia selama lima tahun sehingga 2025.

Selain itu, pejabat berkenaan juga akan dinamakan semula daripada Hab Penyelidikan dan Pengetahuan Global Kumpulan Bank Dunia kepada Hab Kewangan Mapan dan Pertumbuhan Inklusif, sebagai sebahagian daripada perjanjian lanjutan itu.

Mengulas lanjut, Victoria berkata, analisis mendalam akan membolehkan Bank Dunia memberi penjelasan lebih tuntas mengenai impak koronavirus terhadap ekonomi dunia.

“Terdapat sektor berpotensi yang kami jangkakan aktiviti ekonominya akan meningkat dan ada juga yang akan merosot. Kami perlu kumpulkan semua faktor ini bersama dan lakukan anggaran yang terperinci,” katanya.

“Beberapa kerja analisis baru bermula dan kami akan kongsikan sebahagian dapatan ini dengan negara di rantau ini dan di tempat lain sebaik terdapat perkembangan dalam kerja yang dilaksanakan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 31, 2020 @ 7:25am
    d