bisnes

Bincang impak wabak kepada perniagaan

Oleh HM Bisnes

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan mengadakan pertemuan dengan persatuan industri utama, khususnya pembuatan dan perkhidmatan bagi mendapatkan input, selain mengenal pasti sejauh mana penularan koronavirus memberi kesan kepada perniagaan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Miti, Datuk Seri Norazman Ayob berkata, pertemuan semalam akan mendapatkan cadangan pihak industri mengenai langkah menangani impak koronavirus bagi jangka pendek dan sederhana.

“Apabila kita ada semua maklumat, kita kemukakan kepada Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, untuk mereka memperkenalkan pakej rangsangan,” katanya selepas perhimpunan perdana Miti dan agensi di sini, semalam.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataan sebelum ini berkata, pihaknya akan melihat impak penularan koronavirus ke atas negara sebelum menentukan jumlah pakej rangsangan ekonomi bagi membantu sektor yang terjejas.

Norazman berkata, ketika ini Miti, MoF dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi merangka langkah yang boleh diperkenalkan bertujuan membantu pihak industri dalam usaha menangani impak koronavirus terhadap perniagaan mereka.

“Ia bertujuan menangani kos perniagaan atau cuba mengurangkan kos perniagaan, manakala yang kedua memperkenalkan langkah yang boleh membantu pihak industri menangani kemungkinan kemerosotan perniagaan atau dari segi kesukaran mendapatkan bahan komponen atau import khususnya dari China,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 11, 2020 @ 7:15am
    d