bisnes

Ambil langkah kurang beban pelanggan bank terjejas koronavirus

Oleh HM Bisnes

BERIKUTAN wabak koronavirus yang dilihat tidak menunjukkan sebarang pengurangan, beberapa bank tempatan mengambil langkah bagi mengurangkan beban pelanggan yang terjejas akibat wabak berkenaan.

Ahli Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) menyedari bahawa penularan koronavirus kini menjejaskan perniagaan dan industri di peringkat global serta tempatan.

“Usaha bersama bank ahli dilaksanakan bagi memastikan pelanggan dapat berdepan tempoh mencabar ini dan memastikan kelangsungan perniagaan.

“Justeru, kami menasihatkan perniagaan yang mengalami kesukaran kewangan daripada penularan wabak ini supaya berunding dengan bank masing-masing seberapa segera bagi membincangkan pilihan berkaitan komitmen pinjaman atau pembayaran balik,” katanya.

Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) menawarkan moratorium sementara sehingga enam bulan untuk bayaran ansuran bulanan ke atas kewajipan pembiayaan tertentu kepada semua pelanggan dan kakitangan sebagai bantuan kepada mereka yang terjejas oleh koronavirus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Khairul Kamarudin berkata, skim itu terpakai untuk semua kemudahan pembiayaan kepada pelanggan individu dan perniagaan, berdasarkan merit setiap kes, dan disediakan sehingga 31 Julai 2020.

Sementara itu, AmBank Group turut menawarkan penangguhan sementara atau penstrukturan semula ansuran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat wabak berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, pelanggan yang terjejas boleh menghubungi pihak bank, yang kemudian akan menilai dan mempertimbangkan untuk membuat penangguhan sementara atau penstrukturan semula ansuran.

“Sebagai bank yang prihatin, AmBank bersimpati terhadap nasib pelanggan, khususnya individu dan PKS yang terjejas oleh wabak ini.

“Kami komited untuk membantu mereka dalam saat-saat yang menguji ini,” katanya.

Sementara itu, bahagian insurans dan takaful kumpulan, AmMetLife dan AmMetLife Takaful turut memperkenalkan bantuan kewangan yang mampu menyokong pemilik polisi.

Manakala, RHB Bank dan RHB Islamic Bank turut menawarkan moratorium sehingga enam bulan bagi pembayaran balik bulanan ke atas pinjaman atau pembiayaan.

Pelanggan bank itu yang terkesan juga boleh memohon untuk menstruktur atau menjadual semula pinjaman sepanjang tempoh sukar ini.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 7:00am
    d