bisnes

Firefly tawar pakej istimewa

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

FIREFLY Sdn Bhd, menjalin kerjasama dengan Tourism Malaysia bagi menyediakan pelbagai pakej percutian domestik istimewa terutama sempena Tahun Melawat Malaysia (VM) 2020.

Firefly turut menawarkan pakej percutian serendah RM211 termasuk tiket dan hotel ke destinasi, Pulau Langkawi, Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Philip See berkata, Firefly juga menawarkan potongan diskaun 30 peratus untuk pelancong menikmati pelbagai pakej pelancongan menarik.

“Selain paparan logo VM2020 pada badan pesawat Firefly, pakej percutian ke Pulau Langkawi menjadi pembuka tirai kami dengan tempoh tempahan bermula 17 Februari hingga 13 Mac ini untuk tempoh perjalanan sehingga 30 Jun 2020.

“Kami yakin tawaran ini akan meningkatkan lagi jumlah pelancong ke seluruh Malaysia dan bagi mereka yang ingin menikmati lebih diskaun boleh memuat turun aplikasi mudah alih Firefly,” katanya pada sidang media di majlis pelancaran Livery VM2020 Firefly di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pelancongan Seni, Budaya dan Pembangunan Keusahawanan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris.

Terdapat 70 hotel terbabit di Langkawi dengan baucar penginapan percuma, aktiviti island-hopping dan tiket ke Crocodile Adventureland ditawarkan.

Ditanya mengenai impak wabak koronavirus baharu (Covid-19) terhadap operasi Firefly, Philip berkata, impak diterima berlainan bergantung kepada laluan.

“Bagi segmen korporat agak terjejas sedikit, namun pelanggan dari segmen lain masih mendapat sambutan dan kami berharap setiap pakej ditawarkan Firefly ini dapat tarik lebih ramai pelancong serta merancakkan industri pelancongan negara,” katanya.

Sementara itu, Mohd Asmirul berkata pihaknya optimis untuk menarik kira-kira enam juta pelancong ke Kedah tahun ini berbanding empat juta tahun lalu.

“Kerajaan negeri sudah mengambil langkah pencegahan dan keselamatan, malah Langkawi selamat untuk dikunjungi. Kami akan adakan Festival Langkawi dan pelbagai lagi acara menarik untuk pengunjung,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 5:22pm
    d