bisnes

Kekal unjuran 4.5 peratus

Oleh Mahanum Abdul Aziz

BANK Dunia memantau perkembangan kesan penularan Covid-19 terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia sebelum memutuskan semakan semula terhadap unjurannya.

Buat masa ini, ia kekal dengan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia 4.5 peratus bagi 2020, kata Pengurus Negara bagi Hab Penyelidikan dan Pengetahuan Global Bank Dunia di Malaysia, Dr Firas Raad.

Beliau berkata, terlalu awal untuk menilai impak penularan Covid-19 terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia ketika ini.

Namun beliau tidak menolak, penyebaran virus itu akan memberi kesan kepada Malaysia kerana negara ini adalah negara perdagangan.

Katanya, sebagai negara perdagangan, sudah pasti Malaysia akan terkesan oleh penularan Covid-19 yang menjejaskan rantaian bekalan di China kerana negara itu adalah antara rakan dagang utama negara ini.

“Kami akan memantau perkembangan virus ini. Buat masa ini kami belum mengetahui lagi tahap kesannya. Kami belum membuat keputusan sama ada semakan semula unjuran akan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Laporan Garis Panduan Pengamal Dasar Inovasi oleh Bank Dunia di sini, semalam.

Firas mengeluarkan kenyataan itu bagi mengulas sama ada Bank Dunia akan membuat semakan semula unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia susulan impak penularan Covid-19.

Mengenai sektor yang dijangka terjejas, beliau berkata empat saluran yang dijangka terjejas dengan penyebaran Covid-19 ialah pelancongan, pelaburan langsung asing, rantaian bekalan dan harga komoditi.

Justeru, beliau mencadangkan pakej rangsangan diumumkan kerajaan nanti perlu mengambil kira empat bidang berkenaan.

Katanya, kerajaan perlu membuat pilihan baik dan strategik dalam menyokong industri yang terjejas.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi 27 Februari ini untuk mengurangkan impak ekonomi luaran akibat penularan Covid-19 terhadap Malaysia dan pada masa sama memelihara kebajikan rakyat.

Ia bukan belanjawan baharu mahupun sebahagian daripada dasar Belanjawan 2020, sebaliknya bantuan disalurkan kepada sektor terkesan bagi membolehkan ekonomi negara muncul semula dengan sebaik mungkin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 7:20am
    d